Tuesday, October 26, 2010

Proton terima 1,100 tempahan Inspira

KUALA LUMPUR 25 Okt. - Proton Inspira telah menerima 1,100 tempahan dalam tempoh 10 hari walaupun pelancaran rasminya akan dilakukan pada 10 November depan.
Pengarah Urusan Proton Holdings Bhd. (Proton), Datuk Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir berkata, walaupun hanya separuh badan kereta itu baru didedahkan, semua pusat jualan Proton kini dikunjungi oleh pelanggan bertanyakan mengenai kereta tersebut.

"Keadaan itu menggambarkan betapa minatnya orang ramai terhadap Inspira.
"Proton berterima kasih kepada mereka yang sudah membuat tempahan. Saya yakin mereka tidak akan kecewa dengan kereta keluaran terbaru kami," kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Model Inspira yang dihasilkan bersama oleh Proton dan Mitsubishi Motor Corporation di bawah perikatan strategik kedua-dua pihak boleh didapati dengan dua model iaitu model 1.8 liter menggunakan transmisi manual dan transmisi automatik, serta model 2.0 liter dengan transmisi automatik

Model Inspira merupakan kereta yang telah dipertingkatkan daripada teknologi Lotus terutamanya dari segi panduan dan kawalan kereta.

Tambah beliau, tempahan yang tinggi terhadap Inspira meletakkan kereta tersebut di antara model yang mendapat tempahan tertinggi selepas Saga Saga sebanyak 9,600 buah, Persona (6,100 tempahan( manakala Exora dengan 3,600 (tempahan).