Friday, October 8, 2010

Proton Panggil Balik Gen.2 dan Satria Neo

Pembuat kereta nasional, PROTON hari ini mengumumkan panggilan semula secara sukarela terhadap model Gen.2 dan Satria Neo yang diperbuat antara tahun 2004 ke 2008 disebabkan masalah 'clock spring' yang dilihat berpotensi menjejaskan keselamatan pengguna.


Tindakan ini adalah sebahagian dari program jaminan keselamatan global PROTON, melibatkan sebanyak 15,911 (2%) dari 660,000 unit kereta yang dikeluar dan dijual dalam tempoh empat tahun berkenaan. 'Clock spring' tersebut berhubungan dengan suis-suis dan beg udara ke sistem radio, hon dan 'cruise control'.

"Sungguhpun bilangan yang terlibat adalah kecil, namun keselamata pelanggan adalah keutamaan kami dan kami mohon maaf atas segala kesulitan yang timbul," ujar Pengarah Urusan, Kumpulan Proton Holdings Berhad, Dato' Haji Syed Zainal Abidin Syed Mohamed Tahir.
Ujian rutin telah mengesan keganjilan pada 'clock spring' seperti bunyi geseran pada roda stereng, hon yang berbunyi tiba-tiba, lampu menyala tanpa amaran, suis kawalan audio gagal berfungsi dan yang paling serius, beg udara bahagian pemandu teraktif tanpa sebab.

Dato` Haji Syed Zainal Abidin berkata lagi,  “Tindakan memanggil semula model terlibat adalah satu contoh komitmen kami terhadap keselamatan pelanggan dan keyakinan terhadap produk kami di bawah program Jaminan Kualiti Global PROTON. Kami harap, pelanggan-pelanggan kami memahami bahawa tindakan ini perlu bagi menjamin keyakinan berterusan terhadap aspek keselamatan dan prestasi kenderaan mereka".

Pemilik-pemilik model yang berkaitan boleh menghubungi mana-mana pusat servis PROTON bertauliah di seluruh negara untuk membuat tempahan temujanji bagi pemeriksaan percuma. Semua kos pembaikan dan penggantian berkaitan dengan 'clock spring' akan ditanggung sepenuhnya oleh Proton.



PROTON akan menghantar surat kepada pelanggan-pelanggan yang terlibat untuk memaklumkan perkara ini. Dalam masa yang sama, PROTON telah menyediakan laman web khas, www.protonaftersales.com untuk membantu pelanggan memeriksa tahun pembuatan kereta masing-masing, dengan hanya memasukkan nombor chasis atau merujuk kepada arahan bergambar yang disediakan.
 

Untuk maklumat lanjut dan penjelasan, pemilik boleh menghubungi PROTONiCARE di 1-300-880-888, atau hubungi cawangan PROTON berhampiran.