Wednesday, November 3, 2010

Pelancaran Proton Inspira selari amalan industri automotif global

KUALA LUMPUR 2 Nov. – Pelancaran Proton Inspira oleh Proton Holdings Bhd. (Proton) baru-baru ini yang berasaskan model Mitsubishi Lancer bukan bermakna syarikat tempatan itu mundur ke belakang seperti dakwaan sesetengah pihak.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Mukhriz Mahathir berkata, amalan itu kebiasaan dalam industri automotif global dalam usaha membangunkan produk masing-masing.

Katanya, cara itu lebih menjimatkan kerana penghasilan sesebuah model prototaip melalui penyelidikan dan pembangunan (R&D) melibatkan kos sekitar RM700 juta.
Dengan kos sebanyak itu, jelasnya, ia perlu dilaburkan ke atas produk yang boleh memberi pulangan tinggi serta kuasa jualan sekitar 3,000 unit sebulan seperti Proton Saga, Persona dan Exora yang mempunyai enjin berkapasiti 1.6 liter ke bawah.

“Model Proton Inspira yang berkapasiti enjin 1.8 liter ke atas tergolong dalam segmen pasaran terhad dengan unjuran permintaan sekitar 1,600 unit sahaja sebulan. Sebagai contoh, model Volkswagen Touareg dan Porsche Cayenne adalah berasaskan perkara sama sementara Citroen dan Peugeot pula mengambil Mitsubishi Outlander sebagai produk mereka sendiri,” katanya ketika menggulung Bajet 2011 bagi kementerian itu di Dewan Rakyat hari ini.

Baru-baru ini, Datuk Bung Moktar Radin (BN-Kinabatangan) menyifatkan Proton seolah-olah mundur ke belakang kerana tidak menghasilkan rekaan tempatan sedangkan syarikat pengeluar itu mempunyai pusat R&D sendiri.

Dalam perkembangan berkaitan, jelas Mukhriz, kualiti kenderaan keluaran Proton yang di pasaran tempatan tidak mempunyai perbezaan ketara dengan produknya yang dieksport.

“Spesifikasi kereta nasional untuk pasaran eksport hanya mempunyai perbezaan mengikut keperluan pasaran negara luar seperti ciri-ciri teknikal yang perlu dipatuhi serta beberapa ciri tambahan mengikut pesanan dan kesesuaian pelanggan,” jelasnya.
-Utusan Online