Proton Holdings Berhad (Proton) hari ini melancarkan generasi terbaru Saga, dikenali dengan nama Saga FLX (Face-Lift Xtra) bagi meneruskan kejayaan model terdahulu Saga FL yang dilancarkan pada penghujung tahun lepas.
Selepas tiga tahun pengenalan Saga generasi terbaru, penampilan Saga FLX kali ini lebih menarik apabila tampil dengan sentuhan terbaru teknologi terkini transmisi pemboleh ubah berterusan (CVT –continuously variable transmission), menjadikan pemanduan lebih lancar serta memberikan prestasi keseluruhan lebih cekap.
Didatangkan dalam dua varian Standard dan Executive, Proton Saga FLX dilengkapi enjin bersesaran 1.3 liter CamPro IAFM, 4-silinder DOHC 16V yang menghasilkan kuasa kuda 94hp@5,750rpm dan 120Nm@4,000rpm tork maksimum. Berbanding Saga FL, kuasa kuda enjin kini terhasil pada angka putaran rpm lebih rendah, iaitu 5,750rpm berbanding 6,000rpm.
Tahap penggunaan petrol Saga FLX bagi setiap 100 km juga menjadi lebih cekap apabila dicatatkan 5.7 liter (manual 5-kelajuan) berbanding 6.0 liter untuk Saga FL, dan 6.0 liter melalui penggunaan kotak gear CVT (automatik 6-kelajuan) berbanding 6.3 liter untuk Saga FL dengan transmisi auto 4AT sebelum ini.
Menurut hasil ujian yang dijalankan oleh Proton, tahap penjimatan petrol boleh mencapai sehingga 4 peratus untuk perjalanan di dalam bandar dan hampir 10 peratus untuk pemanduan di lebuh raya.
Selain pengenalan sistem CVT, Saga FLX Executive juga tampil dengan ciri keselamatan lebih baik seperti Sistem Brek Antikunci (ABS) dan Agihan Brek Elektronik (EBD), selain beg udara keselamatan berkembar untuk pemandu dan penumpang depan. Namun untuk varian asas Saga FLX Standard, model itu tidak dilengkapi ketiga-tiga ciri keselamatan tersebut.
Kelengkapan dan ciri-ciri standard lain tidak jauh berbeza antara Saga FLX dan generasi FL terdahulu, namun FLX didatangkan dengan warna baru Elegant Brown (coklat elegan) yang lebih menyerlah. Warna lain turut ditawarkan seperti Solid White, Tranquility Black, Genetic Silver dan Blue Rock. Harga untuk Saga FLX masih lagi kekal rendah dan kompetetif walaupun ditawarkan bersama sistem CVT dengan tambahan harga antara RM600.00 dan RM1700.00, bermula dari RM41,598.00 (CVT Standard) dan RM44,998.00 (CVT Executive). Varian manual Standard berharga RM38,598.00, manakala varian manual Executive berharga RM42,398.00.
SEBARANG PERTANYAAN DAN TEMPAHAN, SILA HUBUNGI HOTLINE PROTON EDAR MELAKA
019-666 4949